Tuesday, August 3, 2010

Logo Halal Tipu



1. Perbuatan menipu sijil makanan dan logo halal Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri sering dilakukan oleh pengusaha-pengusaha makanan bukan Islam yang mengambil kesempatan di atas keperihatinan masyarakat Islam Malaysia untuk mendapat sumber makanan yang halal.
2. Berbagai akta yang digubal bagi memastikan makanan yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha makanan agar mereka mematuhi amalan penyediaan makanan agar semuanya mematuhi kehendak syariah, namun sampai ke hari ini terlalu banyak pengusaha makanan yang ingin mengambil kesempatan dengan menipu logo halal ini. Yang terbaharu sila klik sini.
3. Rata-rata pengusaha makanan ini hanya ingin mengaut keuntungan dari industri makanan halal ini namun mereka tidak kisah samada makanan tersebut telah disediakan mengikut kehendak syariah yang sebenarnya ataupun tidak.
4. Kenapa perkara ini terjadi? Makanan halal bukan sahaja dimakan oleh orang Islam di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.
5. Industri makanan halal begitu besar sehinggakan negeri-negeri luar pun seperti Thailand, Australia, New Zealand, China, India dan banyak lagi negara-negara di dunia ini yang mempunyai jabatan tertentu yang mengawasi, memeriksa dan mengesahkan status halal makanan untuk masyarakat tempatan atau untuk dieksport.
6. Walaubagaimanapun, pengusaha-pengusaha industri makanan perlu betul-betul mematuhi kosher, iaitu undang-undang penyediaan makanan orang Yahudi sekiranya mereka ingin agar orang Yahudi membeli dan menggunakan hasil industri makanan mereka. Kenapa mereka mematuhi undang-undang kosher ini sedangkan jumlah masyarakat Yahudi di seluruh dunia sangat rendah berbanding dengan Orang-orang Islam?


7. Antara jawapannya adalah masyarakat Islam hanya ingin menjadi pengguna sahaja kepada sesuatu barangan. Mereka mengharapkan orang lain untuk menyediakan barangan tersebut dan dengan mempercayai 100% apa yang dinyatakan di bungkusan itu samada ianya tulen atau palsu.
8. Masalah ini tidak ada penyelesaiannya sekiranya masyarakat Islam tidak mengubah personaliti dengan menceburi industri makanan halal yang bernilai ribuan juta ringgit setahun. Hanya mereka yang memahami apa itu hukum halal dan haram dapat menyediakan makanan halal seperti mana yang sepatutnya.
9. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menggalakkan masyarakat Islam menceburi industri makanan halal. Adakah kerajaan sahaja atau pengusaha-pengusaha kecil?
10. Oleh kerana di dalam agama Islam terdapat hukum fardu kifayah, iaitu sesuatu perkara itu diserahkan kepada golongan minoriti untuk menjalankannya, maka masyarakat majoriti terlepas tugas dari melakukannya.
11. Untuk mengubah pandangan masyarakat Islam tentang hukum fardu kifayah industri makanan halal ini dan juga pentingnya masyarakat Islam menceburi aktiviti perniagaan, maka tugas ini perlu dilaksanakan oleh para ulama dan guru-guru agama kerana pandangan mereka mudah didengar oleh masyarakat kita.
12. Malangnya para ulama di Malaysia hanya ingin membicarakan hal-hal yang berkenaan dengan solat, puasa, haji atau lebih tepat lagi mengenai rukun Islam dan rukun iman.
13. Perkara ini jelas dan terbukti kerana sepanjang hidup kita bagi orang lelaki, setiap hari Jumaat khatib akan membaca khutbah Jumaat berkenaan dengan rukun Islam dan rukun Iman.
14. Mereka mengabaikan hal-hal yang berkenaan dengan kegiatan ekonomi yang menjadi perkara utama yang diminta oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w . Perkara berkaitan dengan penguasaan ekonomi banyak terdapat di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis baginda.
15. Jadi pihak-pihak yang bertanggungjawab di Malaysia dan juga mereka yang mengaku diri mereka ulama hendaklah berusaha sedaya upaya mengubah pandangan masyarakat Islam berkenaan dengan aktiviti ekonomi.
16. Bagi mereka yang menyediakan teks khutbah Jumaat perlu menekankan dan dengan berulang-ulang kali menyebut betapa pentingnya penglibatan orang-orang Islam di dalam kegiatan ekonomi. Bukan hanya untuk satu minggu di dalam satu tahun tetapi sepatutnya setiap minggu selama lima tahun.
17. Khatib yang memberi khutbah Jumaat bukan hanya pandai mengajak masyarakat memboikot sesuatu barangan yang dikeluarkan syarikat atau negara yang menghina nabi kita, malah mereka juga perlu pandai mengajak masyarakat Islam agar menyertai dan berperanan penting dalam kegiatan ekonomi.
18. Masyarakat Islam di seluruh dunia menjadi lemah kerana mereka tidak melibatkan diri dengan kegiatan ekonomi sedangkan masyarakat Yahudi yang menjadi minoriti di dunia dapat mengawal dunia kerana rata-rata mereka terlibat dengan kegiatan ekonomi.


19. Begitu juga dengan masyarakat Cina di Malaysia, mereka dapat mengawal ekonomi Malaysia kerana majoriti mereka terlibat dalam kegiatan ekonomi rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment